Hassan Harun letak jawatan Pengerusi KUB

KUALA LUMPUR 18 Julai - KUB Malaysia Bhd. (KUB) hari ini mengumumkan peletakan jawatan Pengerusinya, Datuk Hassan Harun yang berkuat kuasa mulai 15 Julai lalu.

Hassan juga melepaskan jawatannya sebagai pengerusi di dalam syarikat bersekutu KUB iaitu Computer Forms (M) Bhd. serta anak-anak syarikatnya iaitu UNITAR, ITTAR, KUB Telekomunikasi, Bina Alam Bersatu dan Tele Dynamics.

Ketua Pegawai Eksekutif KUB, Izham Yusoff berkata, pelantikan pengerusi baru akan dimaklumkan selewat-lewatnya bulan depan selepas ahli lembaga pengarah syarikat itu bersidang.

``Sementara menunggu pelantikan itu, Datuk Nordin Baharuddin selaku Pemangku Pengerusi akan menerajui pasukan Lembaga Pengarah,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hassan dilantik ke Lembaga Pengarah KUB pada 26 Februari 1997 sebagai Pengerusi syarikat itu. Beliau telah memegang jawatan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif KUB sehingga tahun 2002.

Antara kejayaan Hassan semasa di KUB termasuk menukar syarikat itu dari sebuah koperasi kepada syarikat awam di Bursa Malaysia.

Menurut Hassan, keputusan itu diambil bagi membolehkan beliau menumpukan perhatian terhadap pengurusan Sekolah Tinggi Wadi Sofia yang ditubuhkannya di Kelantan. - UM