K-Force Universiti: Tahap akademik anggota ATM ditingkat

25 Jan 2003 - Bagi meningkatkan tahap akademik anggota selaras dengan perkembangan teknologi maklumat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan program pendidikan jarak jauh yang dikenali sebagai K-Force Universiti. Program ini yang diadakan dengan kerjasama Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) membolehkan anggota-anggota ATM mendapatkan sijil, diploma dan ijazah dalam bidang teknologi maklumat dan pengurusan. Pendidikan jarak jauh ini bermula pada 1 Ogos 2002, melibatkan lebih 500 anggota dari tiga perkhidmatan yang terdiri daripada Tentera Darat, Laut dan Udara. Bagi memudahkan proses pembelajaran, sebanyak enam tempat termasuk di kawasan utara dan pantai timur dipilih bagi menjalankan kursus tersebut. Tempat-tempat kursus tersebut ialah Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak; Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Alor Star, Kedah; Kem Terendak, Melaka; Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang serta Desa Tun Hussein Onn dan Kompleks KEMENTAH di Kuala Lumpur. K-Force Universiti adalah pembelajaran secara maya yang lebih dikenali sebagai e-pembelajaran. Proses e-pembelajaran adalah menggunakan aplikasi Internet. Melalui cara ini, proses pembelajaran menjadi lebih fleksibel dan mudah kerana portal pembelajaran boleh diakses dari mana-mana lokasi di dunia. la sesuai dengan kerjaya tentera yang kadangkala memerlukan penuntutnya ke luar negara bagi menjalani sesuatu kursus. Selain itu, e-pembelajaran memberi pendedahan kepada penuntut tentang aplikasi teknologi terkini di dalam pembelajaran. Teknologi tersebut merangkumi pelbagai format termasuk teks, audio, grafik, animasi dan video yang menjadikan pembelajaran menjadi lebih menarik dan mudah diikuti. Dengan kaedah e-pembelajaran ini, para pelajar boleh mengatur jadual pembelajaran mereka sendiri, tanpa mengganggu tugas harian. Dengan disiplin diri yang tinggi, para pelajar akan mendapati kaedah e-pembelajaran ini sebagai satu kaedah pembelajaran baru yang sesuai untuk cara hidup anggota tentera yang sentiasa komited dengan tugas. Semasa pelancaran program e-pembelajaran baru-baru ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa program ini adalah selaras dengan hasrat Kementerian Pertahanan untuk mewujudkan K-Soldiers. K-Soldiers ialah penggunaan tenaga manusia yang berilmu di dalam menangani perkembangan teknologi persenjataan, seterusnya membawa perubahan kepada corak peperangan. Beliau menambah, menerusi program itu anggota-anggota tentera juga berpeluang memperoleh jaminan dari segi kerjaya kedua selepas mereka menamatkan perkhidmatan dengan ATM. Najib juga berharap pembangunan tenaga intelek yang terancang dan tersusun dapat melahirkan pasukan tentera yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi serta berinovasi. Selain itu ia juga diharap akan menarik lebih ramai belia menyertai ATM kerana ia bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan tetapi kerjaya ini dapat meningkatkan taraf akademik mereka. Ini penting bagi membolehkan anggota-anggota tentera bersaing dengan dunia luar yang mencabar di era globalisasi ini. Anggota-anggota tentera yang berpengetahuan tinggi adalah aset penting kepada ATM kerana kehebatan pasukan tentera kini bukan sahaja diukur dengan kekuatan fizikal dan persenjataan tetapi juga dari segi kebijaksaan dan ilmu yang mereka miliki. - UM