KUB sumbang RM50,000 laksana tanggungjawab sosial

KUB Malaysia Berhad memperuntukkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Rumah Amal Kasih Bestari Kampung Melayu Subang, Shah Alam selaras dengan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Kumpulannya, Haniza Ros Nasaruddin berkata, jumlah itu merangkumi bantuan berupa peralatan rumah tersebut seperti peti ais; kipas; mesin basuh; buku-buku pelajaran; dan baju raya untuk penghuninya.

"Ini adalah tahun keempat kami melaksanakan CSR kepada rumah-rumah perlindungan seperti ini dan ia menjadi tanggungjawab kami membantu mereka kurang bemasib baik.

"Kami memilih rumah perlindungan ini kerana ia kurang mendapat sumbangan daripada pihak-pihak lain, selain pernah mengalami kebakaran baru-baru ini akibat litar pintas," katanya kepada SinarHarian sempena majlis berbuka puasa di Rumah Amal Kasih Bestari Kampung Melayu Subang.

Turut hadir, Pengerusi KUB Berhad, Datuk Abd Halim Abd Samad dan Pengarah Urusan Kumpulan KUB, Datuk Mohd Nazar Samad, Pengetua Rumah Amal Kasih Bestari Kampung Melayu Subang, Hamzah.

Kira-kira 70 penghuni Rumah Amal Kasih Bestari Kampung Melayu Subang diraikan oleh warga kerja KUB pada majlis itu baru-baru ini. - Sinar Harian