KUB sasar perolehan RM1 bilion
Oleh SHAWKATH AZDE
KUALA LUMPUR - KUB Malaysia Bhd., (KUB) akan menumpukan perhatian mengukuhkan perniagaan sedia adanya dan tidak berhasrat untuk melupuskan mana-mana segmen perniagaannya dalam rancangan tahun ini.
Sehubungan itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengarah
Eksekutifnya, Datuk Mohd. Nazar Samad menyasarkan peningkatan perolehannya kepada RM1 bilion pada tahun
ini berbanding RM892.5 juta pada 2008.
"Tumpuan mengukuhkan perniagaan sedia ada itu dijangka dapat memastikan KUB meneruskan momentum pengekalan perolehan pada tahun-tahun akan datang," katanya selepas mesyuarat agung tahunan KUB di sini semalam.
Keuntungan sebelum cukai KUB pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2009, turun kepada RM3.415 juta daripada RM11.346 juta pada suku pertama tahun lepas, perolehan pula susut kepada RM179.759 juta daripada RM190.959 juta sebelumnya.
KUB merupakan syarikat pemegangan pelaburan yang terlibat dalam ICT, hartanah, kejuruteraan dan pembinaan (PEC) serta berkaitan makanan.
Syarikat tersebut juga buat kali pertama, sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada September 1997, mengumumkan pembayaran dividen sebanyak enam peratus kepada para pemegang sahamnya semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tumpuan akan diberikan kepada perniagaan utama yang membabitkan ICT, hartanah dan PEC.
"Berbeza dengan perniagaan berkaitan makanan, dua perniagaan itu (ICT dan PEC) sukar diramal dan kami akan berusaha ke arah itu. Dalam tempoh lima tahun akan datang, KUB akan cuba mengimbangi ke tiga-tiga perniagaan ini," tambahnya.
Sementara itu mengenai segmen perniagaan makanan dan minuman, Mohd. Nazar menjelaskan, syarikat akan membuka enam cawangan lagi restoran A&W di seluruh negara dan empat buah di Thailand pada tahun ini.
Sehingga kini terdapat 32 restoran A&W di Malaysia dan 33 di Thailand. - KOSMO